ini katanya’Saya bukan PM, tiada kuasa arahkan menteri dedah skandal kewangan negara’ – Guan Eng

Ini reaksi Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung artikel yang diterbitkan Astro AWANI pada Selasa (Jun 19, 2018) berjudul ‘Guan Eng, biar menteri atau agensi lain bongkar penipuan’ – Anwar dalam satu temu bual eksklusif bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ashwad Ismail bagi program ‘AI’.

Episod ‘AI’ ini akan disiarkan pada Khamis (20 Jun, 2018).

SAYA menghargai input Datuk Seri Anwar dan juga mengalu-alukan semua pandangan ataupun maklum balas daripada rakyat bagaimana untuk kita menyelamatkan ekonomi negara. Semua pandangan akan diterima dengan hati terbuka.

Saya telah mengambil inisiatif sendiri untuk berjumpa beberapa kali dengan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar ibrahim, untuk memberikan penerangan kepada beliau tentang keadaan ekonomi negara dan juga skandal kewangan yang memudaratkan beban tanggungan hutang.

Keadaan fiskal Kerajaan Persekutuan terjejas kerana hutang yang melebihi RM1 trillion seperti mana yang didedahkan oleh YAB Perdana Menteri ekoran skandal kewangan 1MDB dan perbelanjaan yang boros sebelum ini.
Datuk Seri Anwar juga terkejut dengan impak negatif meluas berhubung penyelewengan kewangan oleh kerajaan lama dalam bentuk memalsukan penyata kewangan, menyorokkan fail penyata kewangan dan menanda fail penyata kewangan berwarna merah khas untuk orang tertentu sehingga tidak boleh diakses oleh Ketua Audit Negara.

BACA: Guan Eng, biar menteri atau agensi lain bongkar penipuan – Anwar

Ini telahpun diterangkan kepada Datuk Seri Anwar bahawa semua pendedahan skandal kewangan berkaitan 1MDB dan juga skandal lain di dalam media dibuat atas arahan YAB Perdana Menteri. Beliau faham tentang perkara ini.

Saya bukanlah Perdana Menteri dan tidak mempunyai kuasa untuk memberikan arahan kepada menteri-menteri lain bagi mendedahkan skandal kewangan yang berlaku dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Tidaklah kena pada tempatnya untuk saya mengarahkan seorang menteri yang lain mendedahkan skandal kewangan kerajaan lama yang berlaku dalam Kementerian Kewangan yang disandang oleh saya.

Rakyat berhak tahu tentang kedudukan sebenar ekonomi dan status kewangan negara. Rakyat tidak mahu kerajaan sorok-sorok atau sembunyikan lagi. Semasa berjumpa dengan Datuk Seri Anwar, beliau juga bersetuju. Kementerian saya akan terus membongkarkan semua skandal kewangan dalam tempoh masa 100 hari seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri. Kita harus berani kerana benar.

Kementerian Kewangan juga telah menggariskan rancangan alternatif untuk menangani beban hutang RM1 trilion menerusi penangguhan projek-projek dan penjimatan perbelanjaan kewangan.

Langkah-langkah perbelanjaan berhemah ini diambil tanpa menjejaskan Defisit Bajet yang terus kekal sebanyak 2.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perlu ditegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan Pakatan telah berjaya menghapuskan GST dan membayar Bantuan Sara Hidup (dulunya dikenali sebagai BR1M) tanpa menyebabkan Malaysia menjadi bankrap. Saya juga telah bertemu dengan pelbagai pelabur serta pengurus dana dari dalam dan luar negara untuk menerangkan dasar kewangan negara.

* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Media Pluti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *